Jumaat, 31 Julai 2009

Petronas beli Optimal stake USD$660mil



KUALA LUMPUR 30 Julai - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), hari ini mengumumkan pembelian keseluruhan kepentingan Union Carbide Corporation (Union Carbide) dalam Optimal Group of Companies (Optimal) dengan harga AS$660 juta (RM2.31 bilion).
Union Carbide merupakan anak syarikat milik penuh Dow Chemical Company (Dow Chemical) syarikat kimia terkemuka dunia..
Petronas akan membiayai pembelian Optimal melalui dana dalaman dan pembelian yang tertakluk kepada syarat dan kelulusan dijangka dimuktamad menjelang akhir suku ketiga tahun ini, demikian menurut satu kenyataan bersama kedua-dua syarikat di sini hari ini.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk memeterai perjanjian pembekalan komersial yang membenarkan mereka meneruskan perkhidmatan kepada pelanggan dengan produkproduk dikeluarkan oleh Optimal.
Dow Chemical akan memasarkan produk asas kimia berprestasi kepada pelanggan sedia ada di Asia Pasifik
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Dow Chemical, Andrew N. Liveris berkata, Optimal merupakan satu pelaburan yang bermakna buat syarikat itu.
"Dengan transaksi itu, kami menyerahkan pengurusan perniagaan ini kepada Petronas dalam masa yang sama kekal komited kepada pelanggan di rantau ini.
"Dengan pelupusan dan penjualan itu memperlihatkan keupayaan Dow Chemical untuk meningkatkan fleksibiliti kewangan dan mengukuhkan kunci kira-kira," kata beliau.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican berkata, pembelian kepentingan Optimal membolehkan Petronas mengukuhkan kehadirannya dalam segmen Olefin selain memperkukuhkan pertumbuhan industri petrokimia di Malaysia.
"Kami mempunyai hubungan kerja yang cemerlang dengan Dow Chemical dalam tahun-tahun sebelum ini dan menjangkakannya akan berterusan dengan Dow kini menjadi salah satu pelanggan terbesar OPTIMAL," katanya.
Perubahan pemilikan itu dijangka tidak membawa sebarang perubahan ketara dalam pengurusan syarikat.
Pengumuman pelupusan kepentingan pada hari ini akan disusuli dengan beberapa langkah yang akan meningkat fleksibiliti kewangan Dow Chemical, memperbaiki aliran tunai dan mengurangkan pinjaman sambungan.
Optimal yang ditubuhkan pada Julai 1998 merupakan syarikat usaha sama yang dikuasai oleh tiga pihak iaitu Petronas, Union Carbide dan OPTIMAL Chemicals (M) Sdn. Bhd., sebuah syarikat usaha sama Petronas dengan Union Carbide.
Selain itu kepentingan Union Carbide dalam Optimal juga diwakili oleh dua syarikat usaha sama lain yang turut disertai oleh Petronas iaitu OPTIMAL Olefins (M) Sdn. Bhd. dan OPTIMAL Glycols (M) Sdn. Bhd.
Optimal yang berpejabat di Kuala Lumpur mengeluarkan lebih 70 produk dan menyediakan perkhidmatan utama di pasaran Asia Pasifik dari kemudahan petrokimia yang berpusat di Kerteh, Terengganu.